Fungsi Rukun Tetangga masih lagi relevan
Kesungguhan kerajaan mengiktiraf Rukun Tetangga (RT) sebagai sektor penting bagi menggalakkan integrasi kaum, memperkasakan komuniti dan ejen pembangunan masyarakat setempat serta mengawal keselamatan kawasan kampung dan taman perumahan daripada dicerobohi penjenayah, terserlah sejak awal penubuhannya, kira-kira 30 tahun lalu.
Malah, ia terus berkembang mengikut peredaran zaman dan arus pembangunan moden. Justeru, kepentingan dan tanggungjawab RT diperluaskan dari semasa ke semasa dengan memberikan keutamaan kepada konsep kejiranan. Kini, ia memberikan penekanan kepada pembangunan komuniti.
Antara objektif utama penubuhan RT adalah untuk menjaga, mengawal dan mengawasi keselamatan sesuatu kawasan perumahan daripada menjadi sasaran penjenayah. Justeru, peruntukan memasukkan peraturan cuti sehari kepada anggota yang menjalankan rondaan pada sebelah malam selepas menunjukkan komitmen dengan sanggup bersengkang mata sepanjang tempoh empat jam mengawasi kawasan tanam perumahan mereka, mulai Jun ini, adalah wajar. Dengan cuti itu, mereka yang bertugas mempunyai rehat cukup sebelum memulakan kerja semula serta mengelakkan ada yang mengambil cuti sakit.Kerajaan, khususnya Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) juga sudah merangka mekanisme pemberian cuti itu kepada anggota terbabit. Ia penting untuk mengelak penipuan seperti yang berlaku sebelum ini kerana ada pihak yang mengambil kesempatan dan menipu sehingga pemberian cuti itu dihentikan.
Majikan juga perlu dengan senang hati dan tanpa ragu-ragu bersedia melepaskan kakitangannya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota RT. Sepatutnya, sebagai anggota RT mereka melakukan kerja dengan penuh keikhlasan demi menjaga keselamatan kawasan dan bukannya mengharapkan balasan. Sekiranya kawasan mereka selamat, pasti ia memberikan kesejahteraan kepada semua penduduk.
Kawasan perumahan, terutama taman baru kerap menjadi sasaran penjenayah melakukan kegiatan mereka. Perangkaan Bahagian Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Kuala Lumpur, menyaksikan kegiatan jenayah harta benda, seperti pecah rumah dan curi harta benda menjadi antara jenayah paling tinggi dilaporkan, khususnya pada musim perayaan.
Laporan pada musim perayaan November 2002 hingga Januari 2003 mendapati 34,021 jenayah harta benda direkodkan. Dari November 2003 hingga Januari 2004 pula 32,915 kes dicatatkan. Jumlah jenayah pecah rumah bagi tempoh November 2002 hingga Januari 2003 pula ialah 6,834 kes dan menurun kepada 6,184 kes dalam tempoh sama tahun berikutnya.
Penurunan kadar jenayah itu juga antara lain hasil kerjasama di antara RT dan polis di balai berhampiran untuk mengawal kegiatan jenayah. Keperluan RT itu amat mendesak, terutama di kawasan bandar raya yang berisiko tinggi berlaku jenayah.
Kita juga mendapati Konsep Bandar Raya Selamat masih belum dapat diwujudkan sepenuhnya di negara ini. Ada ruang yang membuka peluang kepada kegiatan jenayah seperti laluan pejalan kaki yang tidak dipasang lampu, kawasan semak samun yang menjadi tempat persembunyian penjenayah dan pelbagai lagi.
Oleh itu, peranan RT dilihat sebagai pertubuhan yang relevan, terutama di kawasan taman perumahan baru. Mereka juga perlu menubuhkan persatuan penduduk bagi memudahkan pelbagai program disediakan termasuk RT.
RT perlu ditubuhkan dengan lebih luas lagi di kawasan elit. Mereka mungkin berkemampuan mengupah atau menggaji pengawal keselamatan untuk mengawasi kawasan perumahan mereka atau memasang kamera litar tertutup (CCTV). Namun, dari aspek semangat kejiranan, usaha merapatkan hubungan dan integrasi kaum antara penduduk tidak wujud. Tidak hairanlah jika dilihat sekarang aspek itu kurang dapat diterapkan di kawasan itu.
Dalam keadaan itu, kita melihat ada manfaatnya penyertaan mereka yang layak wajib menjalani rondaan RT seperti dilaksanakan pada akhir 1970-an. Penduduk yang tidak mendaftar sebagai ahli RT dan mengikut giliran meronda diheret ke mahkamah serta ada yang didenda atau dipenjara.
Bagaimanapun, kita percaya dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pelbagai program dapat disusun dengan rapi kepada RT sedia ada. Peruntukkan RM10 juta digunakan untuk menaik taraf dan mengubah suai RT.
Cuma diharapkan semua kerajaan negeri bersama-sama membantu memberi dana atau geran bulanan kepada RT untuk melaksanakan program mereka. Ini juga akan membantu meningkatkan pendaftaran RT di negara ini. Ketika ini, sebanyak 3,146 kawasan RT ditubuhkan seluruh negara dengan 78,650 ahli jawatankuasa dan ini sekali gus memberi manfaat kepada 10 juta penduduk.
Dalam menggalakkan pergerakan RT supaya lebih berdaya maju, kerajaan mungkin boleh mewujudkan inisiatif lain seperti menyediakan anugerah khidmat cemerlang kepada RT yang mampu mempamerkan kriteria mengikut objektif seperti digariskan oleh JPNIN. Kita percaya dengan adanya penganugerahan itu, sektor RT akan lebih dipandang tinggi oleh masyarakat. Ia juga akan meningkatkan semangat anggotanya untuk bekerja dengan lebih baik dan cekap.
Hakikatnya, anggota RT ini bukanlah tugas yang sepatutnya diperlekehkan. Ini kerana mereka juga boleh bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ masyarakat dengan memberi input penting ke arah membangunkan negara. Peranan mereka juga amat besar dalam membantu kerajaan menyampai objektifnya, selain meringankan tugas polis mencegah kejadian jenayah.
0 Comments:
Post a Comment
<< Home